Artikel - Gundam Square

Sejak berpindah ke Osaka, saya sudah beberapa kali melawat Expo city 70' di Bampaku-koen di Suita. Ia merupakan sebuah taman yang mejadi tapak Ekspo dunia pada suatu ketika dahulu (tahun 1970). Untuk peminat anime, anda mungkin boleh pergi ke sini sebab ia mempunyai...

 Patung gundam ini merupakan sebahagian daripada Gundam Square Osaka. Gundam Square Osaka merupakan salah sebuah kedai yang menjual barang permainan dan cenderahati Gundam. Ia juga mempunyai Gundam Cafe yang menjual makanan dan minuman ala Starbucks. 

 

Kepada sesiapa yang berminat dengan patung Gunpla (Gundam model dalam slang bahasa Jepun), Gundam Square Osaka merupakan salah satu destinasi yang patut anda pergi. Terdapat lagi satu Gundam Square di Tokyo dan di situ dikatakan 3x kali ganda besar.. (Saya tak pernah pergi Tokyo lagi sejak pindah ke Osaka). 

Pelayan di Gundam Cafe mengenakan pakain cosplay juruterbang Gundam (suit pilot). Ia berubah mengikut hari; hari tertentu, mereka akan pakai baju pihak Zeon, dan kadangkala pakai baju pihak Federation. Anda boleh meminta mengambil gambar bersama mereka dan mereka akan membuat posing "salute". 

 

Kalau anda meminta air coffee atau hot chocolate, anda boleh membuat pilihan lukisan apa yang boleh dibuat di dalam pesanan anda. Saya punya (seperti gambar diatas) menunjukkan gambar Kira daripada Gundam Seed. Banyak pilihan, tapi saya pilih Kira. Saya tak tahu kenapa... 


Artikel- Perbezaan Host Club di dalam anime dan realiti

Suatu ketika dahulu, saya pastu kita semua pernah tengok anime yang bertajuk Ouran High School Host Club (sudah 10 tahun berlalu... Cepat masa berlalu).


Beberapa minggu lepas, saya berjalan-jalan di Nipponbashi, Osaka. Tempat ini berdekatan dengan tempat perlancongan (Namba dan Umeda) dan juga berdekatan dengan " Red Light District" (tempat yang banyak Love Hotel, check sendiri kat internet).

Tempat ini juga banyak Host Club. Hoat club ini terkenal dan setiap iklan memaparkan "ketampanan" dan " kecomelan" hos-hos lelaki ini.


Masa saya pergi (waktu malam) banyak perempuan (office Lady) dan makcik di situ ..

Lagu anime - History Maker (Yuri on Ice)





   


Anime Yuri on Ice merupakan sebuah anime mengisarkan pasal impian seorang peluncur ais untuk memenangi pertandingan Figure skating (saya tidak setuju dengan terjemahan yang diberikan oleh Google Translate untuk figure skating; skating angka). 

Berbalik kepada lagu ini, lagu pembukaan anime ini dinyanyikan oleh Dean Fujioka, seorang artis Jepun di dalam bahasa Inggeris! Liriknya senang difahami dan saya rasa ia sesuai dengan animasi pembukaannya; menunjukkan watak-watak utama membuat aksi meluncur ais. 

Mungkin orang yang tidak biasa dengan "kepelbagaian" konsep anime (yuri, BL etc.) mungkin akan ingatkan anime ini adalah anime dengan tema homoseksual. Tetapi ianya tidak. Ia merupakan sebuah anime yang berfokus pada sukan Figure skating. Bagi saya, tiada unsur homoseksual yang dipaparkan sangat. Bagaimana saya tahu? Sebab saya sudah pernah menonton anime "Love Stage!!" sampai habis! (sebuah anime bertemakan BL). Bila saya bandingkan Yuri on Ice dengan Love stage!!, Yuri on Ice ini masih dikira sebagai anime yang normal. 

Apapun, lagu ini, saya rasa ia sesuai walaupun anda tidak menonton anime, sebab liriknya memang memberi semangat kepada anda untuk berusaha atau melakukan apa yang anda lakukan (di dalam konteks positif). 

Jikalau anda telah melihat Yuri on Ice dan mendengar lagu ini, saya pasti, anda akan terasa ingin menari seperti yang dilakukan oleh watak-watak di dalam pembukaan anime ini. 

Artikel - Risalah tentang maklumat kesihatan wanita

Pada bulan lepas, saya telah pergi ke Pusat kesihatan universiti untuk menjalankan sedikit ujian kesihatan. Terdapat banyak risalah kesihatan yang menggunakan stail anime untuk memaparkan informasinya. Di sini, saya ingin mengongsikan salah satunya.

Risalah informasi ini adalah risalah tentang maklumat haid dan kesan sampingan haid wanita.
Yang saya tertariknya ialah, ia menggunakan watak 2 pelajar sekolah sebagai watak utama di dalam risalah ini. Memang sesuailah, kerana pada masa ini, akan ada banyak pelajar sekolah yang tertanya akan perubahan badan mereka. 

Kesan sampingan semasa haid. Daripada gambar sahaja, kita jelas memahami apa yang boleh dialami semasa mereka di dalam tempoh haid.


 Yang bahagian ini, saya tak perlu terangkanlah....


Di bahagian akhir risalah ini adalah peringatan untuk berjumpa dengan Dr. jikalau ada masalah. (itu apa yang dicakap oleh doktor di dalam gambar di atas). Terdapat ruang untuk hubungi klinik kesihatan di bawah itu, tetapi mungkin pusat kesihatan saya tak sempat untuk meletakkan informasi di dalam risalah tersebut.

Artikel - Takarazuka Revue

Di Osaka, saya selalu menggunakan perkhidmatan kereta api Hankyu. Hankyu adalah nama syarikat yang mengoperasikan pelbagai laluan kereta api di Jepun. Seperti Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Malaysia lah. 

Terdapat pelbagai iklan yang dipaparkan di stesen Hankyu ini. Daripada iklan universiti swasta, sehinggalah ke iklan produk makanan atau produk kesihatan. Apa reaksi anda apabila melihat iklan ini:

Gambar yang saya tangkap di Stesen Kereta api
Mesti anda melihat sekali lagi. Ini macam iklan drama TV... tapi pelakon ini, pelakon lelaki ke perempuan? Nampak kacak, tapi... nampak feminin?

Ia sebenarnya bukanlah iklan drama TV, tapi merupakan iklan untuk pementasan teater di sana. Nama Kumpulan teater ini adalah Takarazuka, dan ia merupakan sebuah kumpulan teater yang dimana semuanya adalah wanita. Watak lelaki di dalam teater tersebut dimainkan oleh pelakon wanita yang tampan.

Takarazuka merupakan sebuah fenomena yang bagi saya merupakan fenomena yang unik. Hal ini kerana, di Jepun, terdapat pementasan teater klasik Jepun yang bernama Kabuki. Tetapi Kabuki merupakan sebuah pementasan di mana semua pelakonnya adalah lelaki! (...dan ya, watak perempuan di dalam teater Kabuki juga dimainkan oleh pelakon lelaki)

Maka, saya rasa Takarazuka merupakan sebuah antithesis kepada Kabuki. Kalau anda memikirkan Takarazuka merupakan fenomena yang baru, anda salah sama sekali. Takarazuka sudah 100 tahun, dan ia diperkenalkan pertengahan zaman Meiji (awal 1900-an).


Pelakon wanita di dalam Takarazuka terbahagi kepada tiga, Otoko-yaku (pelakon perempuan yang "tampan" dan selalu memainkan watak lelaki) dan Musume-yaku (pelakon perempuan yang memang terserlah sifat feministiknya) dan pelakon biasa (bakatnya belum terserlah sama ada menjadi Otoko-yaku ataub Musume-yaku), maka selalunya memainkan peranan sebagai watak sampingan atau penari tambahan. 

Gambar yang saya tangkap di Stesen Kereta api
Saya belum pernah tengok Takarazuka ini, tetapi berdasarkan kawan Jepun saya (perempuan) kebanyakan penonton dan peminata Takarazuka adalah Wanita. Malah beliau sendiri merupakan peminat Takarazuka. (Dia tunjuk koleksi gambar pelakon otoko-yaku kegemarannya).

Gambar yang saya tangkap di Stesen Kereta api
Saya sering terfikir adakah unsur "yuri" di dalam anime dan manga berasal daripada Takarazuka? Hal ini kerana Takarazuka ini sudah lama, wujud sebelum manga jadi popular (selepas perang dunia ke 2). Bila saya tanya kawan saya tadi, dia macam tak setuju dengan soalan saya. Dia tak setuju yang Takarazuka mempengaruhi manga, sebab kata dia selalunya orang minat manga tidak tengok teater sangat. Apabila saya tanya kenapa; dia tunjuk harga tiket dia. 

...Boleh tahan juga harga dia (Harga seating Seat A adalah lebih kurang RM 700-800).
Sebuah hobi yang amat mahal jugalah. Seiring dengan kos hobi manga/anime di sini.

Artikel - Risalah iklan tentang berhati-hati pada pekerjaan

Di Jepun, terdapat pelbagai iklan pekerjaan yang diiklankan. Daripada kerja biasa seperti kerja sebagai pelayan di restoran keluarga (gaji lebih kurang ~900 yen per jam/ ~ Rm 30+ per jam), 

 

Sehingga kepada pekerja yang luarbiasa sebagai pelayan di kafe untuk perempuan/lelaki dengan "keinginan" yang pelik. Gaji sebagai "pelayan" di kafe sebegini adalah sangat tinggi (~25,000 yen bagi setiap pelanggan/ ~RM 860 bagi setiap pelanggan).

Walaubagaimanapun, pekerjaan di kafe sebegini mungkin (dan bergantung kepada "kafe" jenis apa, dan di mana; pasti) merupakan sebuah pekerjaan yang tidak bermoral. 

Maka, terdapat pihak organisasi (terutamanya Bahagian kaunseling di sekolah dan universiti), mengeluarkan risalah iklan supaya berhati-hati dengan pekerjaan sambilan sebegini. 

Di dalam iklan ini, mereka berusaha supaya para pelajar berhati-hati dengan pekerjaan sebagai "Scout". "Scout" ini bagi saya adalah sebuah terminologi untuk sebuah pekerja serba boleh yang bekerja daripada pemegang papan iklan (ya, ada kerja sebegini). kepada pemberi risalah iklan kelab-kelab malam di jalanan (selalunya muncul di tepi jalan bermula pada waktu senja). 

Tapi, saya rasa pekerja seperti scout inilah yang mungkin menjadi kepada pelbagai pekerjaan yang tidak bermoral seperti "pelayan" (daripada pengalaman "melayan" pelbagai manusia di jalanan), penipu (menipu orang-orang tua dengan memohon duit sebagai pelaburan untuk anak-anak/ bayaran untuk kos kesihatan anak-anak etc.). 

Maka, saya setuju dengan iklan ini, supaya orang berhati-hati dengan pekerjaan jenis scout ini.

Artikel - Iklan risalah bekerja di McDonald Jepun

Bersambung daripada artikel sebelum ini, saya sempat mengambil risalah iklan di McDonald semasa saya melawat McDonald di Osaka untuk menggunakan tandas.

 Risalah iklan kerja di McDonald. Sedikit ronyok sebab letak dalam beg.

Kerja sebagai server. Watak ni muncul sekejap kat dalam video kedua iklan McDonald di youtube. Sasaran tenaga pekerja adalah pelajar sekolah menengah.

Iklan untuk kerja sebagai Pengurus. Sasaran tenaga pekerja adalah pelajar universiti atau kolej. Dalam iklan kedua pun menunjukkan watak ni. Kerja ini ditonjolkan sebagai salah satu cara untuk membangunkan budaya kepimpinan sebelum bekerja di peringkat seterusnya.

Bekerja sebagai tukang masak (kot?). Ditonjolkan sebagai kerja yang fleksibel. Sasaran tenaga pekerja adalah lelaki yang aktif. Saya tidak tahu apa kaitan mengimbang dengan kerja tukang masak. Mengimbang kentang goreng?

Saya tak tahu kerja sebagai apa ni. Tapi dia macam tonjolkan surirumah pun dialu-alukan untuk bekerja di McDonald jikalau mereka bosan di rumah... 

Saya tak pasti apa yang ditulis di dalam risalah tersebut, tetapi berdasarkan gambar, ia seakan-akan menunjukkan seperti apa yang saya tulis diatas. 

Satu perkara yang saya suka ialah strategi pengiklanan ini. Seperti yang dikatakan sebelum ini, penggunaan medium animasi di dalam pengiklanan merupakan sebuah idea yang kreatif.

Melawat McDonald di Jepun


Ingat kembali artikel saya sebelum ini mengenai iklan McDonald sebelum ini?

Artikel tersebut boleh dilihat di sini.

Baru-baru ini saya ke McDonald di Osaka sebab tak tahan nak guna tandas. (Tips untuk pelancong, setiap McDonald akan ada tandas. Kalau tak jumpa tandas awam berdekatan, guna McDonald atau mana-mana restoran makanan segera untuk pinjam tandas.)

Saya ternampak poster ini di pintu masuk McDonald:


Poster ini sebenarnya merupakan iklan kerja kosong di McDonald. Tulisan tajuk poster adalah "Jom jadi krew" (kuru-ninaruu).

Bagi saya, ia merupakan sebuah iklan yang kreatif. Penggunaan watak dari iklan sebelum ini menunjukkan kesinambungan "pengalaman bekerja" yang ditonjolkan di dalam iklan akan bersambung di McDonald ini!. 

Walaubagaimanapun, saya tak tahu sejauh mana kebenaran pendapat ini. Sebab saya cuma pinjam tandas sahaja. Hehe 

Artikel - Penggunaan gambar berstail anime di dalam Bioetika

Sebagai seorang penyelidik di salah sebuah Universiti di Jepun, saya perlu mengambil dan lulus pengajian bioetika melalui kelas online. 

Penggunaan gambar berstail anime di dalam pengajaran bioetika di kalangan penyelidik dan pascasiswazah bagi saya amat berkesan untuk mengekalkan fokus pelajar pada subjek pengajaran. 

Saya kongsikan sebahagian daripada gambar-gambar tersebut. 





Saya rasa kalau di negara lain, mereka cuma alan gunakan stok gambar sahaja. Tetapi ini tidak berlaku di Jepun. Gambar-gambar ini saya rasa merupakan hasil kerja asli untuk kelas bioetika ini. 

Artikel - Kad Tahun baru bertemakan Anime

Tahun 2017 akan melabuhkan tirai tidak lama lagi. Maka, di Jepun,pelbagai jenis kad tahun sudah mula dijual atau sudah mula ditempah. 

Pada artikel ini, saya ingin kongsikan tentang jenis kad tahun baru yang dijual oleh Yucho, atau nama rasminya, Japan Post Office. 

Kad bertemakan Idolmaster memang popular disini.

Ada banyak lagi pilihan untuk Idolmaster

Ada juga kad daripada permainan Tales of.. walaupun permainan ini tidak begitu popular lagi (pada pendapat sayalah, sebab ianya sudah lebih 10 tahun) ia masih mempunyai permintaan untuk dicetak sebagai kad tahun baru. 

Kad bertemakan watak Konosuba pun ada. 

Walaupun kad sebegini adalah cantik, tapi ianya mahal (kos diantara 2900-4900 yen, lebih kurang RM 80 ke 120 per set). Saya percaya kos ini adalah kerana untuk membayar royalti penggunaan watak anime ini di dalam bentuk kad tahun baru keliaran Japan Post. 


Artikel - Papan peringatan menarik di Osaka Jepun

Di Jepun, terdapat pelbagai papan peringatan. Dari papan peringatan berhati-hati di jalan raya sehinggalah ke iklan peringatan etika di dalam kereta api. 

Disini, saya kongsikan beberapa gambar yang menarik di Osaka. Saya kini tinggal di Suita, Osaka kerana melanjutkan pelajaran di Osaka universiti.

Iklan ini merupakan iklan peringatan tentang jangan tertipu dengan "phone scam". Di Jepun sekarang, terdapat penipuan skim barang kesihatan/insurans melalui telefon. Kumpulan jahat ini fokus pada golongan orang tua dan sampai sekarang golongan berumur di Jepun sering menjadi mangsa penipuan skim sebegini. Di dalam iklan ini, terdapat lukisan seorang nenek, tapi nampak "macho" pula.  (Gambar di stesen Kita-Senri)

Papan ini merupakan peringatan kepada para pelajar sekolah untuk berhati-hati semasa jalan ke dan pulang dari sekolah. Saya pun terkejut sebab budak-budak semuda 5 tahun sudah dibiarkan berjalan sendiri ke sekolah (tetapi jalan berkumpulan lah, bukan jalan berseorangan).


Dua-dua gambar diatas menunjukkan gambar peringatan etika menggunakan kereta api. Saya sering ke universiti menggunakan kereta api (Hankyu Line). terdapat banyak jenis gambar, tapi ini hanya 2 daripada yang saya dapat tangkap gambar. Gambar-gambar ini comel. 

Kebanyakan papan peringatan di sini menggunakan gambar untuk menyampaikan mesej peringatan. Ada yang menggunakan watak anime terkenal, dan ada yang sekadar menggunakan gambar biasa sahaja. Apapun, ianya memang kreatif. 

Kalau ada lagi, nanti saya tangkap gambar dan kongsikan disini. 

Perkembangan terkini - Saya sekarang tinggal di Jepun!

Assalammualaikum semua!

Saya ingin maklumkan yang saya kini melanjutkan pelajaran di Universiti Osaka di dalam bidang kejuruteraan biologi (Bioenginnering). Saya sudah mula tinggal di sini sejak akhir September 2017 lepas. 

Mulai hari ni, saya akan kadangkala membuat artikel tentang apa yang saya jumpa semasa di sini. Saya akan tinggal di sini untuk suatu tempoh yang lama juga (> 3tahun). Maka nantikan artikel dari saya ya. 

Saya akan membuat artikel baru setiap hari sabtu. 

Sekian

 Gambar saya melawat Fukui Dinosaur Museum

Lagu Anime - Mospeada Lonely Soldier Boy

Lonely Soldier Boy - Mospeada
   

Kepada sesiapa yang pernah ingat, anime Mospeada pernah ditayangkan di TV3 setiap hari pada pukul 7.30 malam. Lagu ini menjadi memori sebab ianya akan didendangkan setiap kali anime ini9 ditayangkan. 

Lagu ini memang dipenuhi dengan unsur 80-an, selari dengan anime Mospeada (tahun 1984-85). Lagu jepun zaman-zaman dulu mesti ada campur sedikit lirik bahasa inggeris dan lagu ini juga tidak terkecuali. 

DO YOU REMEMBER? 

THAT OLD LULLABY~~~

Pernah suatu ketika dulu, ada sebuah band indie Malaysia bernama HUJAN  menyanyikan lagu ini. Walaubagaimanapun, saya tidak menggemari versi Hujan dan lebih menyukai versi Original. 

Lagu ini pasti akan memberi kesan Nostalgia kepada anda walaupun anda bukan daripada generasi 80-an. Tidak tahu kenapa, tetapi saya rasa mungkin disebabkan leitmotif dan jenis instrument musik yang digunakan. 

P/s: Lagu ini ada di dalam Hp. saya.

Ulasan Anime - Akagi, Pakar Mahjong


Sebuah anime mahjong bertemakan Mahjong.


Jikalau anda pernah melihat gaya anime Akagi ini, ia sebenarnya daripada orang yang sama membuat Kaiji. Touhai Densetsu Akagi berfokus kepada pengembaraan seorang remaja genius (Dia berusia 13 tahun di awal cerita) ke dalam dunia kegelapan Mahjong. 

Ya, MAHJONG. 

Walaupun begitu, saya rasa awak boleh menonton anime Akagi ini tanpa perlu mengetahui cara permainan Mahjong. Hal ini kerana reaksi orang di sekelilingnya sudah memadai untuk mengetahui apa yang berlaku. Ini merupakan salah satu "tarikan" anime Akagi (dan juga Kaiji) sebab penekanan impak penceritaan bergantung kepada reaksi orang di sekeliling mereka (pelakon suara di dalam anime-anime ini sangat hebat). Kalau tiada watak lain, Sang pencerita (Narrator) sendiri akan menghasilkan impak penceritaan (Tak percaya? pergi tengok anime-anime ini). Ataupun tengok gambar di bawah ini, yang menunjukkan gambar salah seorang lawan Akagi.




 Reaksi biasa (kiri) dan reaksi tertekan (kanan)

Jikalau anda seorang peminat atau orang yang tahu Mahjong, saya rasa awak akan lebih suka anime ini. Hal ini kerana anime ini menerangkan secara terperinci gaya permainan Mahjong. Tetapi kalau tidak tahu pun tidak mengapa, sebab saya sampai habis menonton kesemua episod Akagi pun masih tak tahu bermain Mahjong. 

Sama seperti Kaiji, tarikan Akagi adalah menunjukkan bagaimana watak utama hendak melepaskan diri daripada kesusahan. Walaubagaimanapun, berbeza dengan Kaiji, watak Akagi ini seorang watak yang sentiasa tenang dan tidak akan tertekan dengan emosi (Kaiji selalu tertekan dengan emosi). Ini mungkin merupakan salah satu "kelemahan" anime Akagi ini. Kalau kita asyik tengok hero tidak dalam kesusahan dan tidak menunjukkan emosinya, boleh jadi bosan. 

Lagi satu perkara yang saya rasa bosan juga ialah, Akagi akan sentiasa menang kalau dia fokus. Berbeza dengan Kaiji, setiap kali Akagi bermain, dia akan menang. Cuma cara dia menang itu yang menjadi tarikan penonton. Walaubagaimanapun, KESEMUA lawan Akagi memang patut dikalahkan (dan ada yang patut mati dengan teruk...)

Jikalau anda seorang peminat anime berfokus kepada "tekanan" atau perjudian, tontonilah Akagi. (dan juga Kaiji) Saya rasa anda akan sukakannya. 


Ulasan Iklan - McDonald's "The Future Me (Bahagian 2)"


Iklan ini merupakan kesinambungan daripada Bahagian 1.








Senior watak utama daripada iklan terdahulu mula pergi temuduga untuk kerja lain. Walaupun berat hati, tetapi junior tersebut mula membuat kerja dengan cermat atas bimbingan senior tersebut.

Pada masa yang sama, senior tersebut menyerlah di dalam temu duga atas sebab pengalaman bekerja di McDonald.

Saya suka iklan ini.


Ulasan Anime - Kaiji, Si penjudi

Kaiji merupakan sebuah anime yang unik. Mengisahkan pasal seorang lelaki yang tajam akal untuk menyelamatkan dirinya daripada terhimpit dari kancah perjudian.


Sebagai pendahuluan, saya cuma tengok Kaiji musim ke-2 (abang dan kakak saya menceritakan season 1 kepada saya secara lisan; diorang tengok dan sukakan anime Kaiji ini).  Setelah menonton keseluruhan musim 2 dalam masa 2 hari (Kaiji musim 2 ada 26 episod keseluruhannya, sama seperti musim 1) saya pun berpendapat Kaiji merupakan sebuah anime yang unik. 



Secara terus terang, rekaan watak Kaiji amatlah hodoh. Dengan Kaiji (watak utama) berhidung panjang, rupa watak-watak lain lagi hodoh. Tetapi sebenarnya rupa anime ini adalah memaparkan realiti sebenar manusia, iaitu sebagai seorang makhluk yang hodoh dan keji. 

Saya yakin anda akan menjadi seorang yang pesimis selepas melihat anime. "Tiada siapa yang baik di dunia ini!" merupakan sebuah ungkapan yang saya percaya mesti pernah keluar jikalau anda pernah menonton Kaiji.  Tak percaya? tengoklah... 

Secara rumusannya cerita dia: Kaiji merupakan seorang lelaki yang dipaksa masuk ke dalam kancah perjudian (dia menjadi penjamin untuk seorang kaki judi yang kemudiannya menghilangkan diri). Walaubagaimanapun, Kaiji ini bukanlah seorang lelaki yang biasa. Dia "pandai" untuk memikirkan jalan luar dan kita sebagai penonton ternanti-nanti macam mana Kaiji nak lepaskan diri. 

Walaubagaimanapun, Kaiji ini masih dikelilingi oleh kaki penjudi, manusia paling tak berguna di dunia dan lain-lain. Tikam belakang akan sentiasa berlaku. Tetapi selalunya bukan dalam cara yang anda sangkakan. Ini sahaja yang saya boleh beritahu, kerana perasaan tikam belakang itu merupakan sebahagian "pengalaman" menonton Kaiji. 






Artikel - Aktiviti penulisan kertas penyelidikan berfokus pada Anime (Bahagian 2)

Bolehkah Titan menghasilkan tenaga yang mencukupi untuk badan mereka?


Artikel ini merupakan lanjutan daripada artikel sebelum ini.

Artikel penyelidikan kali ini menerangkan tentang BMI titan di dalam anime Attack of Titan. Anda boleh membacanya di link ini. 

Walaubagaimanapun, saya suka membaca artikel ini (walaupun pendek) ialah di abstrak mereka di mana mereka menulis dengan terang "..Beware Spoilers for anime spoiler for season 1 and 2". 

Tapi setelah baca, tiada spoiler season 2 pun. 


Di bahagian Discussion, selalunya penyelidik akan merujuk kepada penyelidikan terdahulu. Contohnya: "Hadi et al. telah mengkaji...". Penyelidik selalunya menulis sebegitu di dalam kertas penyelidikan. 

Tetapi apa yang saya suka ialah mereka merujuk kepada Hange Zoe, salah sebuah watak di dalam anime (yang kebetulan memang seorang penyelidik Titan) seolah -olah memang Hange Zoe itu seorang penyelidik yang hidup (Saya minta maaf kalau anda bernama Hange Zoe, tetapi kalau anda betul-betul bernama Hange Zoe, anda mesti seorang yang bangsa Eropah yang mampu membaca bahasa Melayu. Saya kagum dengan kemahiran anda!). 

Di dalam kertas penyelidikan ini, mereka berpendapat Titan tersebut menghasilkan tenaga untuk badan mereka bukan melalui memakan manusia, tetapi daripada cara seperti fotosintesis. Bacalah, saya rasa ianya amat menarik.

Alangkah bagusnya kalau para pelajar di Malaysia pun boleh buat sebegini. 

Artikel - Pengubahsuaian konteks cerita semasa sudut alih bahasa - 4Kids (Era tahun 2000)

Pada suatu masa dahulu, terdapat sebuah syarikat yang mengalih suara anime jepun ke dalam bahasa Inggeris. Syarikat tersebut bernama 4Kids.



Anime berbahasa inggeris ini mencetuskan kegilaan orang ramai, sebab semakin banyak orang memahaminya. Contoh anime yang dialih bahasa 4kids yang paling popular adalah siri televisyen Pokemon. Kita di Malaysia pernah disajikan dengan Pokemon pada pukul 8.30 malam di NTV7 (masih wujud lagi? hehehe).

Sebab kan dah tengok yang versi Inggeris (kita terma-kan ia sebagai "Dub"; singkatan untuk dubbing). Suara Ash, Brock dan misty telah melekat kat kepala. Beberapa tahun lepas, saya cuba tengok Pokemon dalam bahasa Jepun, dan saya berasa janggal dengan mendengar suara Satoshi (nama Ash dalam bahasa Jepun), sebab bunyi macam suara Naruto. 

Walaubagaimanapun, semasa saya kecil, saya perasan ada sesuatu yang "tak kena" dengan Pokemon bahasa inggeris ini. Cuba tengok gambar dibawah:


Masa saya mula dengar Brock cakap Jelly filed donuts, saya rasa lain macam.Tu bukan nasi kepal ke? (masa saya kecil, saya tak tahu nama Onigiri, so saya panggil tu nasi kepal). Selepas itu, kakak saya yang tengok sekali cakap: tu bukan nasi ke? Nampaknya, bukan saya seorang yang pelik dengan dub ini. 

Beberapa tahun lepas tu, baru saya tahu syarikat 4Kids ini bukan sahaja mengubah suai dubbing, tetapi mereka juga mengubah konteks anime apabila ia berkaitan dengan budaya dan gambar yang kurang sesuai untuk tontonan kanak-kanak. Saya faham keperluan ini, tetapi saya rasa pengubahsuaian 4Kids ini sedikit keterlaluan. Saya beri contoh dibawah. 

Contohnya seperti mengubah pistol yang dipegang oleh Hermeppo di dalam One Pice:


Di bahagian kiri adalah pengubahsuaian 4kids dan belah kanan adalah tayangan original di Jepun. Satu soalan yang berlegar di fikiran saya semasa tengok yang versi 4Kids: "Apa yang dipegang oleh Hermeppo tu?!?!"

Tetapi semua ini berlaku masa awal-awal je. Pengubahsuaian pasca 2005 sudah menjadi lebih baik, contohnya dibawah:


Mereka mengubah animasi terus. Sepatutnya di belah kiri adalah Onigiri berguling jatuh ke arah Satoshi. Tetapi 4Kids telah mengubahnya kepada sandwich jatuh berguling ke arah Ash. Kalau anda tengok animasinya, tak nampak janggal, sebab animasinya "bersih" dan lancar (tak perasan pun ubah suai). 

Nampaknya kualiti pengubahsuaian ni semakin meningkat setelah beberapa tahun. Walaupun sedikit janggal, saya rasa usaha 4Kids ini sesuai sebab ia memperkenalkan anime kepada orang ramai. 

Setelah menulis ini, saya terdetik hati untuk mendengar dubbing bahasa Melayu anime. Sudah banyak anime di dubbing dalam Bahasa Melayu. Dubbing bahasa melayu yang paling best masa saya tengok anime masa era 2000 adalah Doraemon, You are Under Arrest dan Ninja Boys. Saya memang kena buka balik Astro Ceria, sebab banyak anime bahasa Melayu dekat channel itu. 


Ulasan Manga - Shiba Oochan

Sebuah manga yang comel. Manga pasal pakcik anjing Shiba dan kehidupannya sebagai seorang lelaki, seorang pengurus yang cekap dan seorang ayah yang penyayang.


Dunia manga ini merupakan dunia yang alternatif kepada dunia kita. Tetapi perbezaannya dunia kita dengan dunia ini adalah lelaki yang sudah berkahwin akan berubah menjadi anjing shiba. Perempuan tak akan berubah apa-apa di dalam dunia ini dan seperti biasa, masih mengjengkelkan di dalam dunia ini (Mereka selalu komen, Pakcik-pakcik shiba ini kuat berpeluh dan berbau di dalam tren kereta api). Kalau nak tahu lebih lanjut rintihan pakcik-pakcik shiba ini, bacalah manga ini.  

Cerita ini fokus kepada Taro Shibayama, seorang pengurus syarikat yang berusia 43 tahun. (Baca panel manga di atas untuk lebih lanjut.

Manga ini merupakan sebuah manga lucu berisarkan kehidupan seorang pekerja di masyarakat jepun. Maka, terdapat beberapa lawak yang hanya orang duduk Jepun faham (Kalau awak baca buku pasal masyarakat Jepun pun dah boleh faham). Bagi saya, manga ini lawak dan comel sebab tengok Shiba-shiba ini buncit dan buat kerja. Lebih-lebih lagi, apabila mereka buat perangai orang tua seperti manjakan anak perempuan mereka, takut bos dan lain-lain. 

Tetapi manga ini pendek sahaja. Boleh baca sekejap sahaja sebab hanya 1 volume. Pelukis dia ada melukis pelbagai manga pendek sebegini, tapi nanti saya review lagi pada masa depan. 



Artikel - Genre Ahli sihir Perempuan

Salah satu genre yang popular di dalam anime Jepun adalah genre "Mahou Shoujo". Di dalam bahasa kita, kita boleh terma-kan "Mahou Shoujo" sebagai Ahli sihir Perempuan. Anime Ahli sihir perempuan ini amat popular dikalangan penonton perempuan kecil. Ia dikatakan anime sebegini memberi inspirasi untuk budak perempuan untuk menjadi berani dan berdikari.

Image result for little witch academia 

Konsep Ahli sihir perempuan ini saya rasa bermula dan dipopularkan dengan anime Sailor Moon. Anime ini pernah ditayangkan di TV kat Malaysia pada suatu masa dahulu. Saya tidak tengok saya Sailor moon ini, tetapi saya masih ingat lagi kata-kata Usagi:

"Dengan kuasa bulan, akan menghukum -Mu!" 
 

Ada pandangan yang menyatakan anime bergenre Ahli sihir perempuan ini merupakan sebuah rancangan yang memartabatkan kaum wanita sebagai hero. Pandangan ini selalunya disebut oleh orang barat dan seringkali disamakan dengan watak-watak heroin di barat seperti Wonder Woman, dan lain-lain. 

Walaubagaimanapun, saya kurang bersetuju dengan pendapat tersebut, sebab anime Ahli sihir perempuan tidak berfokus pada tema "Heroin" sahaja. Bagi saya, anime ahli sihir wanita juga menyampaikan mesej yang murni kepada penonton budak perempuan. 

Contohnya, kebanyakan anime Ahli sihir wanita juga memaparkan tema semangat setiakawan. Hal ini ditonjolkan di dalam banyak anime. Contohnya, Sailor Moon mempunyai ramai kawan yang juga pewaris puteri bulan (Saya janji saya tak pernah tengok cerita dia...)

Semangat setiakawan juga ditonjolkan di dalam Little Witch Academia, di mana hampir kesemua pelajar di masukkan di dalam kumpulan bertiga (Akko, Lotte dan Suzi). Sepanjang penceritaan, kita dapat lihat bagaimana Akko berkenalan dengan Suzi dan Lotte. Cara ini, ia menunjukkan macam mana penonton perempuan untuk berinteraksi dengan pelbagai jenis kawan. 

Kebanyakan anime ini juga memaparkan tema/sifat keibuan watak ahli sihir perempuan. Contohnya, di dalam Little Witch Academia, cikgu Ursula memaparkan sifat keibuan pada Akko semasa mengajarkan dia. (akan tetapi... (spoiler, tengok sendiri). Di dalam Magical girl Lyrical Nanoha Strikers, watak Fate Testarossa yang merupakan watak utama di dalam siri terdahulu kini sudah menjadi perempuan dewasa dan kini menjaga pewaris ahli sihir yang baru. Sesiapa yang menonton anime ini boleh melihat transformasi Fate testarossa daripada seorang ahli sihir perempuan kepada ibu ahli sihir perempuan. 

(Fate yang rambut kuning tu)

 Maka, saya rasa genre ahli sihir perempuan ni amatlah positif. Tetapi tengok juga anime Ahli sihir perempuan yang sesuai juga. Hal ini kerana ada juga anime genre ini yang sudah dirosakkan dengan elemen yang kurang sesuai untuk tontonan bawah umur (terutamanya budak perempuan bawah umur). Contohnya... Fate/kaleido apa entah. saya tak suka anime itu. 



Artikel - Gundam Square

Sejak berpindah ke Osaka, saya sudah beberapa kali melawat Expo city 70' di Bampaku-koen di Suita. Ia merupakan sebuah taman yang mejad...